Friday, June 11, 2010

Mari mengenal Kitab Muwatta' Imam Malik, Sunan Ad-Darimi, & Musnad Imam Ahmad Bin Hanbal

Alhamdulillah, setelah 3 minggu membiarkan blog ini kosong tanpa sebarang pengisian, pada hari Jumaat yang mulia ini ku bawakan entry yang terbaru sebagai sambungan dari tajuk Mari mengenal Kutub Al-Sittah. Masih mengekalkan pendekatan yang sama, tajuk yang bakal dikupaskan ini akan menceritakan serba sedikit tentang nama kitab, nama pengarang dan beberapa kitab syarah atau penjelasan tentang kitab Muwatta' Imam Malik, Sunan Ad-Darimi, & Musnad Imam Ahmad Bin Hanbal.

Segala maklumat yang tertera di bawah di nukilkan daripada Kitab علوم الحديث أصيلها ومعاصرها di karang oleh الدكتور محمد أبو الليث الخير آبادي. Sebelum mengupas tajuk ini, aku ingin menyeru rakan-rakan mari bersama-sama kita doakan semoga pengarang diberi kesihatan, kesejahteraan dan dipanjangkan usia dalam menyebarkan ilmu Allah yang diberkati ini. Alangkah bertuahnya diri ini kerana diberi kesempatan untuk menuntut ilmu bersama tokoh ilmu hadith yang hebat ini.

Teringat lagi kenangan semasa berada di Pusat Matrikulasi UIAM, ada sahabat yang telah menjejakkan kaki ke Kampus Induk UIAM memberi tahu akan kehebatan beliau dalam bidang hadith. Alhamdulillah, setelah memasuki UIAM, aku berpeluang menimba ilmu bersama beliau sebanyak 3 maddah atau subjek seperti Ulum Hadith, Takhrij Hadith, dan 'Ijaz Sunnah. Beliaulah Assoc. Prof Dr. Abu Lais, seorang yang berperawatakan ceria dan menghiburkan dalam mendidik kami, membantu pelajar untuk memahami sesuatu dengan baik dan mudah bersesuaian dengan keadaan semasa. Akan tetapi berubah menjadi seorang serius di luar kelas, seolah-olah tidak pernah mengenali kami. Walau bagaimanapun, begitulah peribadi seorang yang aku sangat kagumi dan hormati.

Justeru itu, aku kongsikan sedikit ilmu hasil nukilan beliau, semoga sama-sama kita beroleh manfaat darinya dan jika ada keberkatannya melalui penyampaian ilmu ini aku hadiahkan buatmu wahai guruku. Semoga Allah sentiasa merahmati perjuangan dan usahamu...Ameen.

موطأ الإمام مالك


· اسم الكتاب: هو "الموطأ" سماه به لأنه وطأ (أي سهل) به الاستفادة من أحاديثه على الناس، أو لأن علماء المدينة واطأوا عليه (أي وافقوا عليه).


· اسم المصنف: أبو عبد الله مالك بن أنس بن أبي عامر.


· أهم الشروح: (1) التمهيد لما في الموطأ من المعاني والأسانيد لابن عبد البر، أبي عمر يوسف بن عبد الله بن محمد بن عبد البر المالكي القرطبي. (2) الاستذكار في شرح مذاهب علماء الأمصار مما رسمه مالك في موطئه من الرأي والأثار لابن عبد البر. (3) تنوير الحوالك على موطأ مالك للسيوطي. (4) شرح الزرقاني أبي عبد الله بن محمد بن عبد الباقي بن يوسف المصري. (5) أوجز المسالك إلى موطأ مالك للشيخ محمد زكريا الكندهلوي.


سنن الدرامي


· اسم الكتاب: هو "السنن". وقيل: "المسند" بمعنى أن أحاديثه وآثاره كلها مسندة.


· اسم المصنف: الإمام أبو محمد عبد الله بن عبد الرحمن بن الفضل بن بهرام الدرامي السمرقندي.


· أهم الشروح: -


مسند الإمام أحمد بن حنبل


· اسم الكتاب: هو "المسند" على معنى أن أحاديثه مرتبة على أسماء الصحابة.


· اسم المصنف: هو الإمام أبو عبد الله أحمد بن محمد بن حنبل الشيباني.


· شروح الكتاب: وقد رتب الشيخ أحمد عبد الرحمن البنا الساعاتي على الأبواب الفقهية والموضوعات العلمية، وسماه: "الفتح الرباني لترتيب مسند الإمام أحمد بن حنبل الشيباني"، ثم شرحه، وسماه "بلوغ الأماني من أسرار الفتح الرباني".

Thursday, May 20, 2010

Second Interview in My Life

Alhamdulillah, 19hb Mei 2010 aku telah selamat menjalani temuduga bersama Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) di Shah Alam bagi jawatan Pegawai Dakwah/ Pembantu Editor/ Pembantu Penyelidik. Sebenarnya ia merupakan temuduga keduaku sepanjang hidup ini. Temuduga pertama telah ku hadiri hampir 7 tahun yang lalu di Maktab Perguruan Ipoh sebagai seorang guru.

Hari ini, tepat jam 10.15 pagi aku telah bergegas ke rumah sewa sahabatku Ashran. Di sana aku menanti kelibat seorang lagi sahabatku Rizudin. Beliaulah yang akan memboncengku dan menunjukkan jalan ke Shah Alam. Setibanya di rumah tersebut, ku lihat Din telah siap dan bersedia untuk bertolak ke destinasi yang dituju.

Pada jam 10.35 pagi kami pun memulakan perjalanan. Doa ku panjatkan dengan semoga perjalanan ini dalam keadaan lancar dan selamat di bawah lindungan Allah, memandangkan khabar yang ku terima bahawa perjalanan ke sana memakan masa 40 minit. Kasihan daku pada sahabatku yang memboncengku hari ini...hehe.

Selepas perjalanan yang panjang, kami selamat tiba di Bandaraya Shah Alam pada 11.30 pagi. Namun, kami mengambil masa 20 minit yang berikutnya untuk menjumpai lokasi yang dijanjikan. Dengan badan yang keletihan, kami gagahkan jua melangkah ke bangunan kedai baru di mana bertempatnya cabaranku pada hari tersebut.

Selepas mendaki tiga tingkat bangunan tersebut, kami pun masuk ke dalam premis tersebut, tepat jam 12.00 tengahari, ternyata ianya sebuah bangunan yang baru di sewa/beli. Ku dapati tidak banyak perabot yang terdapat di dalamnya, akan tetapi hiasan dalaman premis membuktikan bahawa tempat ini bakal menjadi suatu tempat yang penting bagi Persatuan Ulama' Malaysia suatu hari nanti...InshaAllah.

Selepas menunggu selama 15 minit, aku pun di panggil untuk ditemuduga, hanya seorang panel sahaja yang menemunugaku, kebanyakannya hanya berkisar tentang pengalaman dan latarbelakang diriku, tiada soalan yang berkaitan permasalahan agama di ajukan kepadaku. Setelah 10 minit ditemuduga yang boleh ku gambarkan sebagai borak-borak, akhirnya cabaran ku pun berakhir.

Kini, aku hanya menunggu keputusan yang bakal diputuskan oleh pihak PUM sedikit masa lagi. Ku sedar peluang ku untuk diterima agak terbatas memandang ramai lagi calon-calon yang telah dan bakal ditemuduga, inilah yang dinamakan persaingan yang sihat...Ku redha dengan segalanya. Hanya doa dan harapan yang mengiringi tawakkal ku ke hadrat Ilahi.

Walaubagaimanapun, aku bersyukur dan puas dengan perjalanan hari ini kerana dalam perjalanan pulang kami telah singgah di Masjid Wilayah Persekutuan dan mendapat sedikit "ole-ole ilmu" dari Ustaz Zahazan yang kebetulan yang memberi ceramah bulanan di situ. Alhamdulillah, seakan-akan perjalanan kami hari ini diberkati. Mungkin juga ini hasil doa para sahabat yang mendoakanku semalam di status Facebook ku.

Syukran Jazilan buat sahabat-sahabat yang telah mendoakanku, dan yang teristimewa sahabatku Rizudin yang sanggup menemani perjalananku ke sana. Baru ku sedar, alangkah bertuahnya hidup bersahabat dan berjemaah, syukur aku masih punya sahabat-sahabat yang mengambil berat tentang diriku dan akan mendoakanku. Hanya Allah sahajalah yang akan membalas jasa kalian...Barakallahu fikum.

Akhir kalam, semoga cabaranku hari ini memberi sedikit ilmu dan pengalaman buat diriku. Hanya padaMu Ya Allah ku sandarkan segala yang terbaik buat diriku dalam meneruskan hidup ini untuk berbakti kepada agama Islam yang ku cintai ini...Amin!

Thursday, May 6, 2010

Sedikit Kupasan Tentang Doa Qunut Nazilah

Definisi Qunut Nazilah:
Qunut ertinya membaca doa kerana sesuatu bala bencana supaya kita dilindungi Allah dari bahaya.

Bacaan Qunut merujuk kepada doa yang dibaca di dalam solat pada tempat yang khusus sewaktu berdiri. Qunut Nazilah merupakan salah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut mazhab Syafie selain qunut dalam solat subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat Witir di bulan Ramadhan.

Qunut Nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak, diserang belalang dan sebagainya. Qunut ini tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan cubaan-cubaan seperti ini.

Bacaan Qunut Nazilah di zaman Rasulullah Sallallahu`alaihi wasallam:
Qunut ini pernah dibacakan oleh Rasulullah ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai 60 orang penghafaz al-Quran selama sebulan berdasarkan hadis berikut:

Mafhumnya: Sesungguhnya Nabi Sallallahu`alaihiwasallam telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz al-Quran. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Seperti dikisahkan dalam Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah Sallallahu`alaihiwasallam pernah melakukan qunut selama satu bulan untuk mendoakan pembunuh-pembunuh para sahabatnya di Bir Al-Maunah.

Dari Abu Hurairah RA : Sesungguhnya bila ingin mendoakan seseorang, Nabi Muhammad SAW
membacakan qunut sesudah ruku' (Hr. Bukhari dan Ahmad bin Hambal). Doa Qunut Nazilah dibaca setiap sholat fardhu jahriyah (mahdzab Hanafi), sedangkan selain madzhab Hanafi, Doa Qunut Nazilah dibaca setiap kali sholat fardhu.

Tatacara Bacaan Qunut Nazilah:
1. Qunut ini boleh dibacakan pada tiap-tiap sembahyang fardhu jika kedatangan bala atau sebarang cubaan dari Allah SWT.

2. Qunut ini dibacakan pada waktu iktidal selepas ruku’ pada rakaat terakhir.

3. Contoh lafaz doa qunut Nazilah yang pernah kami amalkan semasa di Sekolah Izzuddin Shah adalah seperti berikut (terdapat juga lafaz dan penambahan pada bacaan yang lain):


4. Sunat ditambah bacaan doa ini selepas bacaan qunut harian.

5. Disunatkan kepada Imam untuk membacanya secara kuat dan diaminkan oleh makmum dalam solat yang berjemaah.

6. Sebagai peringatan, qunut Nazilah hanya dibacakan apabila manusia ditimpa sesuatu musibah. Maka, solat fardhu selain solat subuh tidak dibaca qunut melainkan jika berlaku sesuatu perkara buruk berdasarkan hadis:

Mafhumnya: Sesungguhnya Nabi Sallallahu`alaihiwasallam telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz al-Quran. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

*Peringatan:
Jika para Imam tidak menghafal Qunut Nazilah yang dilampirkan, bolehlah membaca doa qunut sepertimana dalam solat subuh. Kemudian doa Nazilah ini boleh dibaca selepas solat.

Imam hendaklah meberitahu para jemaah bahawa qunut akan dibaca di dalam solat agar mereka meng-aminkan bersama doa tersebut.

Mari kita bacakan doa ini untuk saudara-saudara kita kaum muslimin dimana saja berada, khususnya yang sedang terkena ancaman, penganiayaan, dan penindasan musuh-musuh Allah.

Sumber: www.islam.gov.my/portal/pdf/2009/DoaQunutNazilah.pdf
doc.takafulink.com/DOA_QUNUT_NAZILAH.pdf
www.scribd.com/doc/2677255/Doa-Qunut-Nazilah


Monday, April 12, 2010

Imbas Kembali - Doa Wahdah

Terkenang daku zaman remajaku di Sekolah Agama Menengah Rawang (SAMER:1999-2001) dan Sekolah Menengah Izzuddin Shah, Ipoh (SIS:2002-2003), bacaan doa Wahdah selalu dibacakan bagi menguatkan lagi ukhwah antara kami, agar menjadi permata agama yang berguna kepada agama secara umumnya. Doa ini juga antara amalan yang sering diamalkan kami di asrama selain bacaan Al-Ma’thurat, Doa Rabithoh (lihat posting terdahulu), Doa Qunut Nazilah, nasyid-nasyid seperti Amalulillah – Shoutul Amal, selawat-selawat dan lain-lain lagi.

Buat tatapan umum, aku kongsikan posting terbaruku ni agar sama-sama kita mengamalkan doa ini sama ada secara individu, mahupun di dalam jemaah. Harapanku, semoga doa ini dapat diperluaskan ke dalam institusi kekeluargaan kita bagi mendapat manfaat darinya, kerana seperti yang kita ketahui keluarga merupakan titik permulaan dalam hidup seseorang, justeru itu keluarga memainkan peranan yang penting dalam mentarbiah seluruh isi rumahnya.

Doa Wahdah merupakan sebuah doa yang berbeza cara bacaannya kerana doa ini berasal dari medan peperangan. Doa ini merupakan suatu penyaksian dan pengagongan kita kepada kekuasaan Allah S.W.T.

لا إله إلاّ الله
إلهاً واحداً و نحن له مسلمون

لا إله إلاّ الله
و لا نعبد إلاّ إيّاه
مخلصين له الدين
و لو كره المشركون

لا إله إلاّ الله
ربّنا و ربّ آبائنا الأوّلين

لا إله إلاّ الله
وحده وحده وحده
أنجز وعده
ونصر عبده
وأعزّ جنده
وهزم الأحزاب وحده

فله المُلكُ و لهُ الحمد
يحيي و يميت
و يميت و يحيي
و هو حيٌّ لا يموت

بيده الخير
و هو على كلّ شيءٍ قدير

الله أكـــبر


Tiada Tuhan yang disembah selain ALlah
Tuhan yang Maha Esa
dan kami berserah kepadaNya
Tiada Tuhan yang disembah selainNya
kami tidak menyerah selain kepadaNya
kami mengikhlaskan tunduk kepada Nya
walaupun dibenci oleh org musyrik
Tiada Tuhan selain Allah
Tuhan kami dan Tuhan nenek moyang kami
yang terdahulu

Tiada Tuhan yang disembah selain Allah
Tuhan yang Esa,Tuhan yang Esa,Tuhan yang Esa
Dia telah menunaikan janjiNya
Dia telah memenangkan hambaNya
Dia telah memuliakan tenteraNya
dan Dia telah mengalahkan musuhNya berseorangan

Bagi ALlah segala kerajaan,bagi segala pujian
Dia yang menghidupkan dan mematikan
Dia yang mematikan dan menghidupkan
sedangkan Dia Maha Hidup dan tidak mati
Dalam segala kekuasaan dan kebajikan
dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu
ALlah Maha Besar

WALLAHUA'LAM

Sumber: http://badarsbpikp.blogspot.com/2010/02/doa-wahdah-sbpikp.html

Thursday, April 8, 2010

Yang Berakhir Bukan Membiarkan Segalanya Berlalu Pergi

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, akhirnya penantian selama 6 tahun berakhir. Pada 6 April 2010, jam 5 ptg, berakhir sudah pengajian peringkat ijazahku di bumi UIAM, sebuah Taman Ilmu dan Budi.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian isinya alam, walaupun sedikit rasa kurang berpuas hati dengan hasil dan kemampuanku untuk perjuangan ku pada hari tersebut, tetapi ku tetap panjatkan kesyukuran kerana memberiku peluang untuk menamatkan pengajianku, alangkah bertuahnya diri ini berbanding sahabat-sahabat yang kurang bernasib baik di luar sana, mahupun yang telah pulang menghadapMu Ya Allah.

Ya Allah,ku harapkan ilmu yang ku timba ini tidak terhenti di sini, berikan ku peluang untuk berkongsi sesama masyarakat yang memerlukannya di luar sana. Sekiranya masih luas peluang bagiku untuk menimba ilmuMu, jadikan daku antara hambaMu yang menjadi pilihanMu untuk memperolehinya ke akhir hayatku. Ku harap suatu hari akukan datang dan berpijak semula di bumi UIAM yang bertuah ini bagi melaksanakan misi dan hajat terakhirku kepada bonda tercinta untuk meneruskan pengajian di peringkat Master. InshaAllah, anakanda akan berusaha wahai bonda...

Dinihari, tanggal 8 April, aku telah melangkah ke luar Taman ini, berpisah sesama rakan-rakan seperjuangan yang telah banyak membantu, bahu membahu dalam mengharungi cabaran dalam menuntut ilmuMu Ya Allah. Justeru itu, wahai Yang Maha Pemurah, ikhlaskan segala usaha kami selama ini, semoga berkat keikhlasan ini menjadi suatu nikmat bagi menempuh alam pekerjaan dan berkhidmat kepada masyarakat di luar sana.

Buat sahabat-sahabat, maafkan segala kekhilafan dan kedhoifan diri ini sepanjang mendampingi kalian semua. Jasa baik kalian akanku semat dalam ingatanku selamanya. Jagalah diri sebaik-baiknya, semoga kita dapat bertemu lagi. Semoga pertemuan dan perpisahan ini, sesuatu yang diredhaiMu Ya Allah. Marilah kita bersama-sama titipkan doa bersama semoga kita semua berjaya di dunia akhirat, dipelihara dari sebarang musibah dan fitnah. Selamat tinggal semua...Salam dari Sang Perantau.