Thursday, September 23, 2010

Aku kembali...

Akhirnya setelah hampir 2 bulan, aku terasa untuk mengarang semula. Lama juga aku menyepi, hendak katakan aku terlalu sibuk, lebih kurang sahaja sibuknya seperti sebelum ini.

Bulan Ogos yang lepas umat Islam tekun melaksanakan 'ibadah puasa di bulan Ramadhan, bulan ini Eid Fitri pula disambut menandakan kemenangan dalam melawan hawa nafsu. Semoga tarbiah yang dinikmati sepanjang madrasah Ramadhan, berjaya membentuk insan yang ikhlas kepada Penciptanya, Allah Azzawajalla.

Bulan September ini juga, tamatlah kontrak ku sebagai seorang guru di Sekolah Islam Adni pada 30 September 2010. Dikala aku meluncurkan tanganku di atas papan kekunci laptop ini, aku masih diserang seribu satu rasa bersalah, perlukah aku untuk memperbaharui kontrak ku setidak-tidaknya sehingga hujung tahun ini? Ini bermakna aku terpaksa meneruskan khidmat ku 3 bulan lagi.

Bulan Oktober pula, 3 Oktober merupakan hari bersejarah dalam hidupku kerana Majlis Konvokesyen yang ke-26 bakal berlangsung di UIAM setelah 6 tahun ku mengharungi jerih payah menimba setitis ilmu di Pusat Matrikulasi dan Kampus Utama, Gombak. Ini ucapanku buat mereka yang ku sayangi: "Emak ayah..ini sahaja buah tangan yang dapat ku berikan ketika ini, moga terubat penat lelah kalian membesarkan diri ini selama 24 tahun, InshaAllah setelah kejayaan ini kan ku pahatkan keazaman untuk terus membahagiakan kalian selamanya".

Semoga selepas Majlis Konvokesyen ini, akan hadirnya sinar harapan buatku untuk memperoleh kerja yang tetap, secara langsung untuk merancang menuntut bahasa Arab di luar dan seterusnya menyambung pengajianku di peringkat Master. Bagaimana pula soal perkahwinan? kurasakan tika ini, terpaksa ku lontarkan jauh dari hatiku, biarpun rakan-rakan ramai yang mula menjejakkan kaki ke jinjang pelamin. Cukuplah kesilapan 4,5 tahun yang ku lepaskan sebelum ini, sebagai galang gantinya 4,5 tahun mendatang harus ku tebus dengan berbakti kepada agama yang ku cintai. Ya Allah ya tuhanku, bawalah aku sentiasa bersamamu, sentiasa mentaatimu, mengamalkan setiap tuntutan yang termaktub di dalam kitabMu, Al-Quran dan Sunnah kekasihmu, inshaAllah...ameen.