Sunday, January 24, 2010

Bedah Album Rabbani - Mahabbah

Alhamdulillah, dalam tempoh seminggu, dua album nasyid telah aku perolehi. Bermula dengan Mirwana (Bumi Akhir Usia) dan semalam Rabbani (Mahabbah) dengan tagline "Kasihanilah, kamu akn dikasihi". Kedua-dua kumpulan ini, sangatlah ku minati, kerana aku membesar dengan lagu mereka, tidak keterlaluan aku katakan semasa industri nasyid Malaysia dilahirkan menerusi Nada Murni.

Melalui album ini, vokal saudara Zulkiflee lebih menyerlah. Jika sebelum ini, vokalnya dikaburi oleh vokal Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, mungkin juga kerana lagu-lagu tersebut sering dinyanyikan Allahyarham. Vokal saudara memang mirip Allahyarham, tapi Ustaz cenderung ke irama timur tengah, manakala Zulkiflee agak universal.

Baiklah, terdapat 8 buah lagu dan diselang-selikan dengan 8 buah kata-kata hikmah. Berikut adalah lagu-lagu yang terdapat dalam album ini dan komen dariku:

1) Mahabbah - Lagu baru yang mengingatkan tentang cinta kepada Ilahi atau Mahabbatullah.

2) Kejora Sinar Zaman - Lagu tribute khas buat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.

3) Syahadah - Lagu dari siri Syahadah yang dinyanyikan semula Rabbani melalui vokalisnya saudara Zulkiflee, masih terngiang suara Ustaz yang pernah mendendangkan lagu ini.

4) Nurul Iman - Lagu tema dari siri drama "Nurul Iman", tapi aku kurang arif tentang drama, secara overall memang cita tentang cahaya keimanan.

5) Bicara Hijrah - Lagu mengenai hijrah yang pernah dinyayikan Ustaz, diberi nafas baru oleh saudara Zulkiflee.

6) Ya Man Satufariq - Lagu lama dari Nada Murni, menceritakan tentang perbezaan orang yang mampu membezakan dunia dan akhirat.

7) Tanpa Agama - Lagu lama dari Nada Murni, kemudian dinyayikan semula Hijjaz, dan kini diberi nafas baru oleh Rabbani.

8) Inikah Petanda - Lagu featuring antara Ustaz dan Mawi, menurut sumber lagu ini tak dapat dimasukkan ke album sebelum ini, jadi dimasukkan ke album ini. Bagiku ia umpama bonus, jadi terubat juga untuk mendengar suara Allahyarham.

Kesimpulannya, meskipun Allahyarham Ustaz telah lama meninggalkan kita, tetapi jalan dakwah dan perjuangan yang diterokai beliau benar-benar memberi banyak faedah kepada kita semua. Jadi di atas bahu kita pula mesti dikerahkan untuk meneruskan perjuangan yang telah dirintis beliau. Alhamdulillah, Rabbani tetap segar dengan mesej dakwah seperti dulu, semoga berjaya di dunia dan akhirat. Buat Allahyarham Ustaz, semoga Allah merahmati Ustaz di sana dan membalas segala jasa dan pengorbanan Ustaz...Al-Fatihah.

Saturday, January 23, 2010

Pesanan terakhir dari seorang rakan

Pagi ini, seawal jam 10.14 pagi, aku dikejutkan oleh satu panggilan oleh sahabatku Rizudin: "Assalamu'alaikum Zaid, nak bagi tahu ni, Onn (nama gelaran yang ku tahu sejak Matrickulasi UIA dah meninggal dunia?". Tersentak aku dari lamunan, Inalillahi wa inna ilaihi roji'un, benarlah mafhum dari firman Allah bahawasanya apabila tibanya ajal seseorang, tidak akan ditangguhkan walau sedetik dan tidak akan dicepatkan walau sedetik.

Mengimbas kembali saat terakhirku bersama arwah, pada petang jumaat yang lalu, selepas pulang dari KL, aku terus ke Mahallah ku, sebaik sahaja aku meletakkan motorsikalku, aku menegur arwah, mana pergi raga motor beliau, tanpa mendapat jawapan yang sepatutnya, terus aku menambah: "Wah rajin betul upgrade motor". Arwah pun menjawab dengan merendah diri, "Motorsikal lama, jadi banyak la rosaknya". Dan beliau terus berlalu. Setahu aku, motorsikal arwah memang baru dibeli murah, daripada buruk dan tak dipandang orang, beliau mengubah sehingga aku mengagumi motorsikalnya.

Sebelum tibanya waktu Maghrib, aku memutuskan untuk pulang ke rumah kerana jarak rumahku yang di KL ini cuma 15 minit perjalanan. Aku terserempak dengan arwah lagi, aku bagi tahu hasratku nak balik rumah, tapi rutin harianku bakal dilambakkan dengan tugasan dan persediaan peperiksaan pertengahan semester. Arwah asyik sekali memasang raga pada motorsikalnya.

Aku juga bertanya bila arwah akan pulang ke kampung halaman, arwah menjawab Insha Allah pagi ini ataupun petang hari ini, yang pasti sudah semestinya dengan menunggang motorsikal. Aku pun meminta izin untuk pulang kerana hari makin lewat, arwah berpesan agar berhati-hati membawa motorsikal kerana jalan basah dek kehujanan, tapi pada pengamatan ku cuaca di luar masih cerah. Dan selepas memberi salam terakhirku buat arwah, aku pun berlalu pergi.

Timbul rasa penyesalan yang tak terhingga kerana aku tidak menasihatkan perkara yang sama kepada arwah, tidak sempat bersalam dan memeluk tubuhnya buat kali pertama dan terakhir. Mungkin juga arwah begitu teruja melihatkan ku gembira untuk pulang ke rumah. Arwah ku kenali sejak dari matrikulasi UIA, kerana sering mengajak Kamal Hafizi ke Silat Cekak, aku kenali arwah juga kerana beliau rapat dengan Faiz "Apai". Sesuatu yang menarik tentang arwah, mudah mesra bila bersamanya, walaupun baru mengenalinya, sehinggakn nama sebenarnya juga tak ku ketahui. Semester lepas dan semester ini, bilik arwah betul2 bawah bilikku, compartment yang sama lagi, jadi aku sering menjenguk ke bawah jika ternampak kehadirannya. tapi kini arwah sudah tiada lagi, Al-Fatihah ku sedekahkan buat arwah.

Buat si arwah: Baru petang semalam dikau nasihatkan daku aku agar pulang ke rumah dengan berhati-hati kerana jalan basah dek kehujanan, pagi ini kau telah pergi menghadap Ilahi buat selamanya. Wahai kenalanku, nasihat terakhirmu akan ku simpan dalam benak fikiranku, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mu dan menempatkanmu bersama orang-orang yang soleh...Amin! Antum sabiqun wa nahnu lahiqun...Insha Allah.

Saturday, January 9, 2010

Islam Hadhari VS 1 Malaysia

Salam sejahtera, entry kali ini agak mengejutkan sedikit, apa sudah jadi dengan aku, hendak melaga-lagakan orang atau telah dipengaruhi dengan konsep-konsep di atas.

Sabar dul
u rakan-rakan, sebenarnya akhir-akhir ni sahabatku meminta bantuan untuk mencari sedikit maklumat mengenai Islam Hadhari dan 1 Malaysia kerana beliau bakal menduduki peperiksaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam 12hb Januari ini. Memandangkan aku juga bakal mencuba nasib yang sama akan datang, tiada salahnya saya menghulurkan bantuan untuk manfaat bersama.

Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.

Islam Hadhari akan memastikan pencapaian sepuluh prinsip utama:
I. Keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI
II. Kerajaan adil dan beramanah
III. Rakyat berjiwa merdeka
IV. Penguasaan ilmu pengetahuan
V. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
VI. Kehidupan berkualiti
VII. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
VIII. Keutuhan budaya dan moral
IX. Pemeliharaan alam semula jadi
X. Kekuatan pertahanan

Terdapat 4 modul yang dititikberatkan di dalam Islam Hadhari seperti Modul 10 Prinsip Pendekatan Islam Hadhari, Modul Bina Insan, Modul Tasawwur Islam, dan Modul Bina Taqwa.

1 Malaysia bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian yang dimiliki rakyat Malaysia, dimana ianya terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan kaum agar mencapai matlamat 1 bangsa Malaysia yang berjaya.

There are 8 values in order to achieve the goal of 1 Malaysia such as Perserverance, Acceptance, Education, Integrity, Meritocracy, Humility, Loyalty, and Culture of Excellence.

Itu sahajalah sedikit bingkisan yang aku sediakan kali ini, tiada niat langsung hati ini untuk mengupas isu ini dari sudut politik mahupun terpengaruh dengan agenda-agenda tertentu. Apa yang penting, perkara yang aku sentuh kali ini memberi sedikit maklumat kepada kita semua untuk mengetahui sekurang-sekurangnya disebalik slogan mahupun konsep yang diperkenalkan kerajaan.

Kepada sahabatku yang bakal menduduki peperiksaan SPA, selamat berjaya aku doakan, semoga kejayaan selalu mengiringi kalian, doakan juga kejayaan ku disini. Semoga aku juga dapat menyusuli kalian dengan jayanya, Insya'Allah...Amin!