Saturday, January 23, 2010

Pesanan terakhir dari seorang rakan

Pagi ini, seawal jam 10.14 pagi, aku dikejutkan oleh satu panggilan oleh sahabatku Rizudin: "Assalamu'alaikum Zaid, nak bagi tahu ni, Onn (nama gelaran yang ku tahu sejak Matrickulasi UIA dah meninggal dunia?". Tersentak aku dari lamunan, Inalillahi wa inna ilaihi roji'un, benarlah mafhum dari firman Allah bahawasanya apabila tibanya ajal seseorang, tidak akan ditangguhkan walau sedetik dan tidak akan dicepatkan walau sedetik.

Mengimbas kembali saat terakhirku bersama arwah, pada petang jumaat yang lalu, selepas pulang dari KL, aku terus ke Mahallah ku, sebaik sahaja aku meletakkan motorsikalku, aku menegur arwah, mana pergi raga motor beliau, tanpa mendapat jawapan yang sepatutnya, terus aku menambah: "Wah rajin betul upgrade motor". Arwah pun menjawab dengan merendah diri, "Motorsikal lama, jadi banyak la rosaknya". Dan beliau terus berlalu. Setahu aku, motorsikal arwah memang baru dibeli murah, daripada buruk dan tak dipandang orang, beliau mengubah sehingga aku mengagumi motorsikalnya.

Sebelum tibanya waktu Maghrib, aku memutuskan untuk pulang ke rumah kerana jarak rumahku yang di KL ini cuma 15 minit perjalanan. Aku terserempak dengan arwah lagi, aku bagi tahu hasratku nak balik rumah, tapi rutin harianku bakal dilambakkan dengan tugasan dan persediaan peperiksaan pertengahan semester. Arwah asyik sekali memasang raga pada motorsikalnya.

Aku juga bertanya bila arwah akan pulang ke kampung halaman, arwah menjawab Insha Allah pagi ini ataupun petang hari ini, yang pasti sudah semestinya dengan menunggang motorsikal. Aku pun meminta izin untuk pulang kerana hari makin lewat, arwah berpesan agar berhati-hati membawa motorsikal kerana jalan basah dek kehujanan, tapi pada pengamatan ku cuaca di luar masih cerah. Dan selepas memberi salam terakhirku buat arwah, aku pun berlalu pergi.

Timbul rasa penyesalan yang tak terhingga kerana aku tidak menasihatkan perkara yang sama kepada arwah, tidak sempat bersalam dan memeluk tubuhnya buat kali pertama dan terakhir. Mungkin juga arwah begitu teruja melihatkan ku gembira untuk pulang ke rumah. Arwah ku kenali sejak dari matrikulasi UIA, kerana sering mengajak Kamal Hafizi ke Silat Cekak, aku kenali arwah juga kerana beliau rapat dengan Faiz "Apai". Sesuatu yang menarik tentang arwah, mudah mesra bila bersamanya, walaupun baru mengenalinya, sehinggakn nama sebenarnya juga tak ku ketahui. Semester lepas dan semester ini, bilik arwah betul2 bawah bilikku, compartment yang sama lagi, jadi aku sering menjenguk ke bawah jika ternampak kehadirannya. tapi kini arwah sudah tiada lagi, Al-Fatihah ku sedekahkan buat arwah.

Buat si arwah: Baru petang semalam dikau nasihatkan daku aku agar pulang ke rumah dengan berhati-hati kerana jalan basah dek kehujanan, pagi ini kau telah pergi menghadap Ilahi buat selamanya. Wahai kenalanku, nasihat terakhirmu akan ku simpan dalam benak fikiranku, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mu dan menempatkanmu bersama orang-orang yang soleh...Amin! Antum sabiqun wa nahnu lahiqun...Insha Allah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.