Tuesday, July 31, 2012

Ramadhan Menjelma Lagi

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi masih diberi keizinan untuk menjadi tetamu di dalam Ramadhan yang mulia ini.


Baru-baru ini berkesempatan menjalani 'ibadah Solat Tarawih dan sedikit tazkirah untuk pengisian rohani di dalam bulan Ramadhan. Antara pengisian yang dapat diambil, alangkah sedihnya mengenangkan tahap kesensitifian umat Islam khususnya di Malaysia. Pada malam Ramadhan yang sepatutnya diisi dengan 'ibadah akan tetapi dihidangkan pula dengan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Harimau Malaya Malaysia, Arsenal dan Manchester City.


Itu baru di dalam negara, di luarnya tampak lebih gah dan berbangga dengan pembukaan Sukan Olimpik London 2012. Disebalik penganjuran dan pembukaan sukan, terdapat pelbagai teori dan konspirasi bagi melemahkan umat Islam di dalam bulan Ramadhan. Tanpa kita sedari, dalam kesibukan temasya sukan itu berlangsung, rakan-rakan seIslam kita di Burma terus menerus diganyang, dibuang dan dinafikan hak mereka. Dunia dilihat seolah-olah memejam mata seperti tiada apa yang berlaku dan perlu dirisaukan. Di samping itu, nasib umat Islam di Syria masih terus bergolak, begitu juga di Palestin yang masih belum berkesudahan. Semoga dengan kedatangan Ramadhan yang mulia ini, memberi sinar harapan buat saudara kita di seluruh dunia, ayuh panjatkan doa dengan sesungguh-sungguhnya.


Selain itu, tazkirah tersebut turut menceritakan serba sedikit mengenai Sultan Abdul Hamid II (Jika tidak silap). Pemerintah Khilafah Uthmaniyyah, Turki yang berada di dalam saat genting. Walaupun melalui tempoh yang getir, Sultan Abdul Hamid II seorang yang tegas membela nasib Islam dan menjaga nama baik nabi junjungan mulia kita Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasallam. Dengan kekuatan kurang lebih 36 kerajaan dibawah naungan Khilafah Uthamaniyyah, mereka ini siap untuk digerakkan atas nama jihad bagi membela nasib Islam jika berlaku penghinaan dan penganiayaan terhadap umat Islam. Sayangnya kini, kita hanya mampu berdoa agar daulah Islamiyyah ini bakal berulang yang menyatukan umat Islam di bawah satu panji iaitu Kalimah La ilaha illallah...Allahumma Ameen.


Di bulan yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita merebut peluang yang ditawarkan kepada kita, malam yang menyamai seribu bulan. Berusahalah meneladani para sahabat Radiyallahu 'Anhum, mereka dengan kedatangan Ramadhan, malam yang meriah dengan nur Al-Quran, mengejar kebaikan atau makrufat dan akhirnya beroleh takbir kemenangan. Di kesempatan ini mari kita renungi lirik nasyid ini, agar  memberi motivasi kepada kita untuk terus bermujahadah di dalam bulan yang mulia ini dan diberkati seluruh 11 bulan yang berikutnya.

Ramadhan Dua Zaman


Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza


Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berasa di awal zaman
Ramadhan kami malang terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman


Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah nur al-Qur’an
Tapi malam kami muram berkabung dengkur


Mereka berlumba mengejar ma’rufat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa


Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak bermaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga


(The Zikr / Nazrey Johani featuring Inteam)