Tuesday, July 31, 2012

Ramadhan Menjelma Lagi

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi masih diberi keizinan untuk menjadi tetamu di dalam Ramadhan yang mulia ini.


Baru-baru ini berkesempatan menjalani 'ibadah Solat Tarawih dan sedikit tazkirah untuk pengisian rohani di dalam bulan Ramadhan. Antara pengisian yang dapat diambil, alangkah sedihnya mengenangkan tahap kesensitifian umat Islam khususnya di Malaysia. Pada malam Ramadhan yang sepatutnya diisi dengan 'ibadah akan tetapi dihidangkan pula dengan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Harimau Malaya Malaysia, Arsenal dan Manchester City.


Itu baru di dalam negara, di luarnya tampak lebih gah dan berbangga dengan pembukaan Sukan Olimpik London 2012. Disebalik penganjuran dan pembukaan sukan, terdapat pelbagai teori dan konspirasi bagi melemahkan umat Islam di dalam bulan Ramadhan. Tanpa kita sedari, dalam kesibukan temasya sukan itu berlangsung, rakan-rakan seIslam kita di Burma terus menerus diganyang, dibuang dan dinafikan hak mereka. Dunia dilihat seolah-olah memejam mata seperti tiada apa yang berlaku dan perlu dirisaukan. Di samping itu, nasib umat Islam di Syria masih terus bergolak, begitu juga di Palestin yang masih belum berkesudahan. Semoga dengan kedatangan Ramadhan yang mulia ini, memberi sinar harapan buat saudara kita di seluruh dunia, ayuh panjatkan doa dengan sesungguh-sungguhnya.


Selain itu, tazkirah tersebut turut menceritakan serba sedikit mengenai Sultan Abdul Hamid II (Jika tidak silap). Pemerintah Khilafah Uthmaniyyah, Turki yang berada di dalam saat genting. Walaupun melalui tempoh yang getir, Sultan Abdul Hamid II seorang yang tegas membela nasib Islam dan menjaga nama baik nabi junjungan mulia kita Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasallam. Dengan kekuatan kurang lebih 36 kerajaan dibawah naungan Khilafah Uthamaniyyah, mereka ini siap untuk digerakkan atas nama jihad bagi membela nasib Islam jika berlaku penghinaan dan penganiayaan terhadap umat Islam. Sayangnya kini, kita hanya mampu berdoa agar daulah Islamiyyah ini bakal berulang yang menyatukan umat Islam di bawah satu panji iaitu Kalimah La ilaha illallah...Allahumma Ameen.


Di bulan yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita merebut peluang yang ditawarkan kepada kita, malam yang menyamai seribu bulan. Berusahalah meneladani para sahabat Radiyallahu 'Anhum, mereka dengan kedatangan Ramadhan, malam yang meriah dengan nur Al-Quran, mengejar kebaikan atau makrufat dan akhirnya beroleh takbir kemenangan. Di kesempatan ini mari kita renungi lirik nasyid ini, agar  memberi motivasi kepada kita untuk terus bermujahadah di dalam bulan yang mulia ini dan diberkati seluruh 11 bulan yang berikutnya.

Ramadhan Dua Zaman


Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza


Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berasa di awal zaman
Ramadhan kami malang terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman


Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah nur al-Qur’an
Tapi malam kami muram berkabung dengkur


Mereka berlumba mengejar ma’rufat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa


Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak bermaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga


(The Zikr / Nazrey Johani featuring Inteam)

Monday, March 12, 2012

Andainya Rasulullah Bersama Kami


Abd Rahman Muhammad - Law Kana Bainana Al-Habib
----------------------------------------------------------------------
Puisi Intro
----------
Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa,
Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan,
Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu dan kebebasan daripada neraka-Mu,
Dan juga kami tamakkan syurga, yang dimasuki bersama-sama penghulu seluruh manusia.

Kami mohon pada-Mu...
Mohon dengan sangat, wahai Tuhanku,
Dari sudut hati kami yang paling dalam...

Start
-----
Kalaulah Kekasih-Mu, masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah
dengan haruman Baginda, sebelum hilangnya,
rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan Kekasih-Mu.

Berada berhampiran Baginda, jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah, akan diperkenankan,
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna,
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda,
Wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba...

Hidayahmu kepada alam merata meluas,
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan pemberi hidayah,
Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih,
Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.

Kutebus diriku dengan dirimu, wahai Kekasihku,
Nabi Muhammad yang mulia, yang asing,
Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum,
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam....

Wahai Kekasihku, wahai Nabi Muhammad
Wahai doktor hatiku, wahai yang dipuji dipuja
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.


عبد الرحمن محمد - لو كان بيننا الحبيب
----------------------------------
يا ربي قد غفلنا وكلنا طمع
في عفو وفي كرم وفي اعتاق
وجنة مع سيد البشر
ندعوك... ندعوك ربي من الأعماق

لو كان بيننا الحبيب # لدنا القاصي والقريب
من طيبة قبل المغيب # طالباً قرب الحبيب

بقربه النفس تطيب # وتدعوا الله فيجيب
أنوار طه لا تغيب # بلغنا لقاه يا مجيب

هداك الكون الرحيب # رحمة الهادي القريب
حديثك النهر العذيب # جوارك الغصن الرطيب
فدتك روحي يا حبيب # محمد مكرم الغريب
بقربك الروح تطيب # يا رحمة للعالمين

يا حبيبي يا محمد # يا طبيبي يا ممجد
أنت ذوالفضل المؤيد # جل من صلى عليك

Siapa Sultan Muhammad Al-Fateh?



Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, "...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?
Biodata Ringkas

Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Baginda menaiki takhta ketika berusia  19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.
Pendidikan

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan,  memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
Keperibadian

Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.
Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan(warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.
Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau "penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.
Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk kota hebat Konstantinopel.
Sumber Grafik: Flickr.com

Thursday, October 27, 2011

10 Wasiat Al-Imam As-Syaheed Hassan Al-Banna




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

10 WASIAT HASSAN AL-BANNA

1)Wahai kawanku,
Segeralah tunaikan solat di awal waktu
Dikala mendengar azan
Usahakanlah semampu terdaya.
Ini membuktikan kesungguhan anda.
Di situ ada sumber kejayaan
Di situ ada sumber pertolongan
Di situ ada sumber taufiq
Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran.
...dimulakan dengan menyebut solat di awalnya
Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat...
Juga di medan perang. Walaupun...
Di saat genting dan cemas.

2)Wahai kawanku,
Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya
Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit
Kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan

Sesungguhnya al-Quran adalah
sumber asli lautan ilmu
Sumber hidayah kepada anda dan saya
Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.
Sentiasalah membaca, menghafal dan...
Cuba hayati mesej arahannya.
Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir!!!
Di sini ada ketenteraman
Di sini ada kedamaian
Di sini ada kesalaman
Jadilah hamba yang sejahtera.

3)Wahai kawanku,
Dorongkanlah diri untuk menguasai
Bahasa al-Quran

Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan
Sebenarnya anda telah lama bermula
Iaitu sejak anda solat setiap hari
Sebut dulu walaupun tak faham.
Antara mala petaka pertama menimpa umat kita... Ialah kecuaian menguasai
bahasa agamanya.
Juga mengutamakan bahasa pasar,
Ayuh !!! Apa  tunggu lagi??????
Bukalah ruang walaupun seminit !!!

4)Wahai kawanku,
Usahlah bertarung idea tanpa adabnya!!!
Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan
Awasilah pertengkaran

Kerana di sana ada unsur lain membisikkan?
Syaitannnn namanya !!!

5)Wahai kawanku,
Senyumlah selalu tapi bersederhanalah
dalam ketawa !!!

Rasulullah s.a.w adalah
yang paling banyak senyum
Beliau ketawa kena pada tempatnya
Tapi berpada-pada sahaja, wahai kawan !
Plato juga berharap agar pementasan hiburan...
Yang tidak bermutu terlalu banyak ketawa bodoh
Hanyalah disaksikan oleh golongan abdi
Dan orang upahan asing!
Begitu juga Aristotle berpendapat
Supaya golongan belia ditegah daripada
menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa
berlebih-lebihan.  supaya tidak menular.
Keburukan dalam diri!!!

6)Wahai kawanku,
Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan
Tanpa serius, hilanglah kesungguhan !!!

Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan
Kata seorang penyair :
Berikan kerehatan pada jiwamu
Yang sibuk dengan berfikir
Ubati dengan bergurau
Tapi,
Kalau mengubatinya dengan bergurau
Mestilah dalam batas
Seperti kau masukkan garam
ke dalam gulai.

7)Wahai kawanku,
Kawallah nada suaramu
Setakat yang diperlukan
oleh pendengar di depanmu

Janganlah jadi seperti orang bodoh.
Bahkan menyakit hati orang lain pula!!!
Luqman Al-Hakim juga
mencela orang yang tidak pandai
menjaga nada suara pada tempatnya.
Itulah katanya suara keldai!!!
Surah al-Isra' memberi tip kepada kita...
Jangan keraskan suramu dalam solat
Tapi jangan pula merendahkannya
Carilah jalan tengah di antara keduanya.


8)Wahai kawanku,
Usahlah umpat mengumpat
Usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain
Bercakaplah jika ada unsur kebajikan

Ayuh!!! Hindarilah...mengumpat!
Tidak sekali mencabuli jemaah-jemaah lain!!!
Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.
Sukakah anda memakan daging pasti anda suka!!  Tapi sukakah anda memakan
daging kawan anda yang telah mati?? Sekali-kali tidak!!!
Begitulah dosa orang yang mengumpat.
Bertaubatlah jika anda mengumpat
Tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu bersama!!!
Boleh mengumpat...apabila ada tujuan syarie.
*      untuk menuntut keadilan apabila dizalimi
*      untuk menghapuskan kemungkaran
*      kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan
*      kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

 9)Wahai kawanku,
Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia Sekalipun mereka tidak dimintaberbuat demikian!!!
Salam kasih sayang adalah untuk semua
Salam kemesraan adalah untuk sejagat.
Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan...!
Lihatlah pensyariatan ibadah haji.
Pelbagai bangsa datang berkunjung!!!
Pelbagai lapisan datang berkunjung!!!
Pelbagai darjat datang berkunjung!!!
Sama-sama menjunjung obor suci
Tidak mengenali tapi tak sepi.

10)Wahai kawanku,
Maksimumkanlah faedah waktu anda dan
Tolonglah orang lain
supaya manfaatkan masa.

Hadkanlah masa penunaiannya.
Biasakan hidup berjadual di hadapan.
Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda!
Bersegeralah, kerana...
Sabda Nabi s.a.w bermaksud :
"Bertindak segeralah melakukan amal..."
(Diulang 7 kali..)
Sayanglah masa saudaramu!!!
H
ormatilah waktu mereka!!!
Usahlah berbicara meleret-leret...
Tanpa haluan dan noktahnya.


BACALAH-RENUNGILAH-KEMUDIAN AMALKANLAH


20 Amalan Murah (Luas) Rezeki


Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah (SWT)limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah (SWT)memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:


 1.        Menyempatkan diri beribadah
Allah (SWT)tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)


 2.        Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah (SWT), yang menjadi sebab Allah (SWT)jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah (SWT)s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)


 3.        Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah (SWT)jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)


 4.        Sentiasa ingat Allah (SWT)
Banyak ingat Allah (SWT)buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah (SWT)beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah (SWT). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (SWT)hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)


 5.        Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah (SWT)akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah (SWT)) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)


6.        Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7.        Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah (SWT)lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah (SWT)akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)


8.        Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.



9.        Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”


10.     Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.



11.     Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)


 12.     Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah (SWT). Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah (SWT)akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)


13.     Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah (SWT)dan menjadi sebab Allah (SWT)buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah (SWT)azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah (SWT)membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah (SWT)menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)


14.     Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah (SWT).



 15.     Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah (SWT)dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)


16.     Bersyukur kepada Allah (SWT)
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah (SWT). Lawannya adalah kufur nikmat. Allah (SWT)berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)


 17.     Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah (SWT)lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah (SWT), al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah (SWT)ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah (SWT), bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.


 18.     Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah (SWT), penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah (SWT)suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.



19.     Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah (SWT)berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah (SWT)beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)


Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.


20.     Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah (SWT). Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah (SWT), nescaya Allah (SWT)mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah (SWT)dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah (SWT)akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah (SWT), lalu Allah (SWT)limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.