Sunday, July 25, 2010

Antara seorang Pendidik & Murabbi

Assalamu'alaikum..alhamdulillah, lama sudah ku tidak kongsikan hasil nukilanku di blog ni. Dalam sedar mahupun tidak, aku telah tiga minggu bergelar seorang pendidik di Sekolah Islam Adni, Ampang. Sebuah sekolah swasta yang mengamalkan konsep Integrated Holistic Education System (IHES).

Baiklah, tanpa membuang masa, ada baiknya aku teruskan kepada mesej yang ingin disampaikan. Jika dilihat dari segi bahasanya, Pendidik digelar Mu'allim, Mudarris, Mursyid, Muaddib dan sebagainya, manakala kalimah Murabbi itu sendiri diambil dari kalimah "Rabb" yang bermaksud didik atau lebih tepat lagi Tarbiah.

Murabbi dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap muallim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Oleh itu, tugas “Muallim” banyak berlegar di “akal” tetapi tugas Murabbi berlegar di “hati”.

Manakala, Muaddib dan Mursyid bagiku ada sedikit ciri-ciri yang dikongsi bersama Murabbi walaupun tetap tidak dapat menyamai peranan Murabbi yang agak luas. Sekiranya anda semua inginkan lebih penjelasan dan perbezaan antara terminologi di atas sila ke laman berikut: Laman Shaniza.

Misi seorang Murabbi adalah untuk meneruskan tugas yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sollahu Alaihi Wasallam dalam mentarbiah manusia agar melahirkan insan yang kamil dari segi Intelektual, Fizikal & Spiritual yang menjadi asas kepada kehidupan mereka. Murabbi juga bersifat Qudwah yang menjadi contoh suri tauladan buat anak didik. Ia juga merupakan tanggungjawab seorang manusia dalam untuk mengamalkan tarbiah dan menjadi Murabbi biarpun kepada diri mereka sendiri.

Antara ciri-ciri seorang Murabbi pula adalah seperti: Mempunyai matlamat yang jelas, bersedia untuk berkorban, ikhlas dan mempunyai hati yang suci, seimbang (not extremist), tindakan yang serta merta (automatic movement), serta bersedia untuk menyumbang dalam apa jua keadaan.

Secara ringkasnya peranan seorang Murabbi itu amat luas, tidak hanya sekadar mendidik, tetapi memberi segalanya kepada insan yang didik termasuklah berkongsi hati dan perasaan dalam memastikan amanah terbiah yang diamanahkan oleh Rasulullah disampaikan sebaiknya.

Justeru itu, aku sebagai seorang pendidik muda yang punya pengalaman dan ilmu yang cetek ini berdoa semoga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam meneruskan misi yang ditinggalkan dengan baik, biarpun tidak sehebat seorang Murabbi, akan tetapi InshaAllah hari demi hari ku akan ku perbaiki kelemahan ini serta penuhkan dengan mendidik generasi muda Islam yang baru.

Akhir kalam dariku, Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah yang memberi jalan ini padaku setelah penantian selama 2 bulan. Dengan sedikit ilmu yang ada padaku, dapat juga ku kongsikan bersama anak didik yang memerlukan ilmuMu ini yang Allah, disamping menambah pengetahuan dan pengalamanku di masa hadapan. Ya Allah, semoga amalan ini menjadi bekal dan buktiku dihadapanMu apabila menghadapMu kelak, inshaAllah...Ameen.

Sumber:

1) Fikrah Session, Sekolah Islam Adni, "Concept of Murabbi", Ustaz Muhammad Bilghirt.

2) Wikipedia.

3) Laman Shaniza.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.