Tuesday, November 2, 2010

Facebook cuba menghalalkan tilikan nasib & ramalan

Sehari dua ini, aku amat tertarik untuk berkongsi satu isu dari status Facebook kepunyaan ustaz Tilawahku semasa di UIAM iaitu Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim. Status tersebut berbunyi begini: "JANGAN PERCAYA RAMALAN TAHI LALAT..TARIKH LAHIR & SEBAGAINYA DALAM FB..BERSEPAH MACAM SAMPAH..".

Sekali imbas, dalam era pembangunan teknologi yang semakin pesat, pelbagai kemudahan jaringan sosial yang disediakan buat tatapan jutaan pengguna internet seperti Facebook, Twiter, Myspace, Friendster dsb. Disebalik jaringan sosial ini pula, terselindung di belakangnya aplikasi-aplikasi yang dapat menghiburkan si penggunanya. Ini termasuklah aplikasi meramal peribadi atau kehidupan seseorang yang secara sedar atau tidak mampu mengugat akidah seorang Islam.

Memang benar kebanyakan pengguna hanya berniat suka-suka bagi menghilangkan kebosanan, dirangsang oleh sifat ingin tahu dan sekadar cuba-cuba akan tetapi sesuatu yang melibatkan akidah bukan boleh dibuat permainan. Ini komen ustazku: "Nak buat main2, suka2 shj?ini isu akidah..jangan bermain api..".

Berikut adalah dalil-dalil dari Al-Quran yang dikeluarkan oleh ustazku yang menunjukkan dengan jelas larangan sebarang aktiviti penilikan atau ramalan:

al-An'am[6.59] Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

Al-A'raf[7.188] Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

al-Naml[27.65]Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).

Luqman[31.34] Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

al-Jinn[72.26] "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, - [72.27] "Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).

Sebagai kesimpulannya disini, umat Islam akhir zaman diuji dengan pelbagai dugaan, seiring dengan tahap kemajuan mereka. Oleh itu, marilah kita hindari segala macam bentuk aktiviti & teknologi sebegini pada masa akan datang yang menjadi jarum halus Yahudi, Nasrani & pengikutnya. Buangkanlah sejauh-jauhnya keinginan dan niat sekadar suka-suka, kerana implikasinya terhadap akidah amat merbahaya walaupun kita tidak mempercayainya. Sebarkanlah kepada rakan-rakan yang mungkin belum menyedarinya dan ingatlah bahawasanya segala yang ada di langit dan bumi semuanya hanya dalam pengetahuan Allah yang maha Esa. Sebagai manusia pilihan berada di tangan kita, buatlah keputusan yang tepat berlandaskan syariat Islam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.