Thursday, April 8, 2010

Yang Berakhir Bukan Membiarkan Segalanya Berlalu Pergi

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, akhirnya penantian selama 6 tahun berakhir. Pada 6 April 2010, jam 5 ptg, berakhir sudah pengajian peringkat ijazahku di bumi UIAM, sebuah Taman Ilmu dan Budi.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian isinya alam, walaupun sedikit rasa kurang berpuas hati dengan hasil dan kemampuanku untuk perjuangan ku pada hari tersebut, tetapi ku tetap panjatkan kesyukuran kerana memberiku peluang untuk menamatkan pengajianku, alangkah bertuahnya diri ini berbanding sahabat-sahabat yang kurang bernasib baik di luar sana, mahupun yang telah pulang menghadapMu Ya Allah.

Ya Allah,ku harapkan ilmu yang ku timba ini tidak terhenti di sini, berikan ku peluang untuk berkongsi sesama masyarakat yang memerlukannya di luar sana. Sekiranya masih luas peluang bagiku untuk menimba ilmuMu, jadikan daku antara hambaMu yang menjadi pilihanMu untuk memperolehinya ke akhir hayatku. Ku harap suatu hari akukan datang dan berpijak semula di bumi UIAM yang bertuah ini bagi melaksanakan misi dan hajat terakhirku kepada bonda tercinta untuk meneruskan pengajian di peringkat Master. InshaAllah, anakanda akan berusaha wahai bonda...

Dinihari, tanggal 8 April, aku telah melangkah ke luar Taman ini, berpisah sesama rakan-rakan seperjuangan yang telah banyak membantu, bahu membahu dalam mengharungi cabaran dalam menuntut ilmuMu Ya Allah. Justeru itu, wahai Yang Maha Pemurah, ikhlaskan segala usaha kami selama ini, semoga berkat keikhlasan ini menjadi suatu nikmat bagi menempuh alam pekerjaan dan berkhidmat kepada masyarakat di luar sana.

Buat sahabat-sahabat, maafkan segala kekhilafan dan kedhoifan diri ini sepanjang mendampingi kalian semua. Jasa baik kalian akanku semat dalam ingatanku selamanya. Jagalah diri sebaik-baiknya, semoga kita dapat bertemu lagi. Semoga pertemuan dan perpisahan ini, sesuatu yang diredhaiMu Ya Allah. Marilah kita bersama-sama titipkan doa bersama semoga kita semua berjaya di dunia akhirat, dipelihara dari sebarang musibah dan fitnah. Selamat tinggal semua...Salam dari Sang Perantau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.